mayysa

Monday, November 3, 2008

Insya-Allah tahun depan keluar ni

Jika tidak merasa maka tidak tahu apakah maknanya rindu. Itu sahaja yang boleh dikatakan Jasmine apabila mengingati saat-saat kerinduannya yang sarat kepada Abang Sani. Tidak boleh digambarkan apa itu rindu. Hati berasa sendat, sayu, sebak dan terharu. Tangan pula asyik memegang telefon antara mahu dan tidak mendail nombor Abang Sani. Seringkali rasa rindu itu datang apabila dia bersendirian di malam sunyi. Terlalu ingat kepada lelaki itu malah kepada nenek juga sehinggakan dia menangis semalaman dan esoknya matanya bengkak. Itu lah kesan kerinduan walau pun maknanya masih tidak dapat ditafsirkan. Dulu dia tidak faham kenapa ada gadis yang cuba membunuh diri apabila ditinggalkan kekasih hati. Namun apabila dia merasai apakah rasanya terpisah, dia tahu rindu itu lah sebabnya. Jika tidak beriman, mautlah yang mereka dambakan. Jasmine tidaklah pernah terfikir hingga ke situ, tetapi setidak-tidaknya dia telah faham satu kerinduan yang sebenar. Jika dia ingin menghukum Abang Sani atas seksanya rindu itu maka Abang Sani akan terhukum dengan teruk. Jika rindu itu berubah menjadi dendam maka punahlah Abang Sani dek bahang dendam itu. Mungkin sebab itu juga orang tua-tua sering menyebut satu kerinduan sebagai rindu dendam kerana keasyikan rindu itu menjadi satu kesakitan seperti dendam. “Apa yang Min lalui takkan dapat abang Sani bayangkan. Menderita. Tiada harga yang abang Sani boleh bayar untuk sakitnya Min merindui Abang.” Tiba-tiba terkeluar kata-kata itu dari mulut Jasmine.
“Walau pun abang tebus salah abang tu dengan sebuah perkahwinan?” Tersentak Jasmine jadinya mendengar suara Sani. Segera dia berpaling. Asyik sungguh dia melayan perasaan sehinggakan dia menjadi terpinga-pinga melihat Sani berdiri hampir di belakangnya. Bahang panas tiba-tiba naik ke mukanya. Selama beberapa hari di rumah nenek dia cuba menyembunyikan rasa hatinya daripada Sani. Seolah-olah Sani sudah tidak bermakna di dalam hidupnya. Sani tidak wujud di matanya.
“Abang pun rindukan Min.” kata Sani apabila Jasmine berpaling semula ke depan. Rasa malu yang hadir menyebabkan Jasmine terkedu tidak mampu bersuara. “Percaya atau tidak terpulang pada Min. Tapi Abang juga separuh gila mengenangkan Min. Baru abang sedar yang abang telah buat satu kesilapan besar dalam hidup. Melepaskan Min pergi.” Keluh Sani masih berdiri di belakang Jasmine.
“Dah terlambat untuk cakap macam tu.” Balas Jasmine menyindir. “Tak perlu lah abang fikir perkara-perkara yang lepas. Dah tak ada gunanya pun,”
Suasana sepi seketika. “Dalam hidup kita ni Min, banyak yang kita belajar daripada pengalaman. Yang kita belajar di sekolah dan secara teorinya adalah tak sama dengan praktikal. Memang abang telah buat kesilapan lepaskan Min, tapi ada sebabnya semua tu berlaku. Ada alasan yang kukuh abang terpaksa buat begitu. Abang tak menyesal dengan apa yang abang pilih. Cuma abang kesal pengorbanan abang tak memberi apa-apa kebaikan pada Min. Sebab, sebab utama abang buat begitu adalah untuk kebahagiaan Min juga.” Ada sesuatu yang besar maknanya dalam kata-kata Abang Sani. Fikir Jasmine. Seperti ada sesuatu yang dia sembunyikan.
“Takkan sampai saat ni abang masih nak berkias-kias juga. Tak bolehkah kita bercakap terus-terang?” soal Jasmine. “Min pun bukan budak-budak lagi. Setelah apa yang Min lalui Min rasa tak ada apa yang abang sampaikan akan buat Min sedih lagi.” Desak Jasmine. Masih seperti tadi, dia memandang ke arah arus sungai yang mengalir segar, Sani berdiri sedikit ke belakang. Diam membisu beberapa ketika.
“Kadang-kadang perkara yang berat itu tak pernah kita fikirkan akan berlaku pada kita Min. Abang tak boleh cakap pada Min. Min kena cari sendiri.” Balas Sani. Dia tidak bermaksud hendak bermain dengan kata-kata. Tidak bermaksud hendak berteka-teki dengaan Jasmine yang boleh membuatkan Jasmine marah dan kecewa. Masalahnya dia tidak berhak menyampaikan berita itu kepada Jasmine. Dia juga tidak pasti apa yang dia tahu itu fakta sebenar. Mungkin juga dia salah faham.
“ Habis apa yang Min nak cari sebenarnya? Bagaimana hendak cari? Kalau semua orang tak boleh bercakap, tak boleh bercerita, might as well tak usah cakap yang ada rahsia sebenarnya kenapa kita tak boleh kahwin.” Suara Jasmine sedikit meninggi namun masih tidak berdepan dengan Sani.
“Bukan kita tak boleh kahwin. Tapi ada sebabnya kenapa mama begitu menghalang kita berkahwin. Selain daripada dia tidak mahukan abang yang tidak tahu usul keturunannya ini menjadi menantunya, ada sebab lain yang hanya dia boleh bagi tahu Min. Bukan sahaja abang malah dia sebenarnya tidak mahu Min kawin dengan siapa-siapa pun.” Terang Sani.
“Apa abang merepek ni?” Jasmine akhirnya mendepani Sani. Wajahnya jelas menggambarkan rasa tidak puas hati dan mungkin juga marah.
“Min hanya perlu tanya mama. Semua jawapan ada pada mama. Kalau Min tak bersoal jawab dengan dia sampai bila-bila pun Min tak akan tahu. Mungkin juga suatu hari nanti Min akan tahu tapi abang pun tak tahu bila hari tu akan sampai.” Sani senyum lembut dan berlalu. Jauh di sudut hatinya dia kasihankan Jasmine. Sanggup Zaharah membiarkan Jasmine begitu semata-mata untuk kepentingannya. Atau mungkin juga untuk kepentingan Jasmine. Apa pun yang jelas Jasmine yang teraniaya. Percaya pada sesuatu yang jauh dari benar. Bergantung pada kebenaran yang palsu.

Jasmine masih termangu-mangi di bibir sungai. Apa yang Abang Sani cuba sampaikan? Rahsia apa yang mama sembunyikan daripadanya. Jika perkara itu kecil sudah tentu lah Sani sendiri akan memberitahunya. Jika rahsia itu besar pula tentulah mama tidak akan memberitahunya dengan mudah. Apa yang hendak ditanyanya kepada mama? Bagaimana dia hendak memulakan soalan tersebut? Takkan dia akan memulakan dengan “Mama, Min nak tahu rahsia apa yang mama simpan daripada Min selama ini?” Tentulah mama akan terpinga-pinga juga. Lalu harus bagaimana kah dia memulakan soalan. “Mama nak Min kahwin atau tak? Kalau tak kenapa?” begitu kah dia harus bertanya? Habis jika mama menjawab Ya, soalan bagaimana seterusnya hendak dia utarakan supaya rahsia bukan rahsia lagi.

2 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home