mayysa

Tuesday, June 23, 2009

kita Hanyalah Anak

Saya sedang berdukacita kerana pagi ini baru mendapat khabar yang bapa saya sangat tidak sihat. Apa yang merunsingkan saya ialah anak saya masih kecil dan lasak dan saya pun sedang mengandung anak kedua, tentulah pergerakan agak terbatas untuk segera pulang ke kampung menziarahi mak dan bapa dalam keadaan kecemasan. Saya tahu setiap apa yang berlaku kepada kita samada yang baik atau buruk adalah ketentuan Allah S.W.T. Dia lah yang berkuasa memberi dan menarik balik sesuatu nikmat yang kita rasai.

Namun sebagai manusia biasa saya amat kesal kerana tidak dapat berbuat apa-apa. Ibu saya sangat tegas dengan apa yang dia kehendaki dan boleh juga kita katakan sebagai degil. Saya bukan menghina ibu saya atau cuba menjatuhkan martabatnya sebagai ibu. Cuma saya mahu sesiapa yang membaca blog saya ini faham situasi yang saya sedang hadapi. Bapa saya lebih lembut hati tetapi dalam keadaan tertentu sama degilnya seperti ibu.

Tanah yang diduduki ibu dan bapa saya akan diambil oleh kerajaan untuk pembinaan benteng banjir. Seumur hidup saya kami kampung kami memang sentiasa dilanda banjir malah rumah kami antara rumah pertama yang perlu bersiap sedia menghadapai banjir jika musim tengkujuh menjengah. Dapatlah sedikit sebanyak pampasan untuk membina kediaman baru. namun yang mengecewakan ibu dan bapa saya tidak mendengar pendapat anak-anak supaya beli rumah yang sudah siap untuk diduduki. Kedua-duanya bertegas untuk membina rumah baru dan mengambil papan-papan daripada rumah lama untuk kediaman baru. Usaha tersebut bukan mudah. Malah ibu saya bertegas untuk membawa setiap barang yang ada di rumah tersebut bersama sedangkan barang-barang lama begitu banyak. Semua yang dia kumpulkan sejak berpuluh tahun lalu.

Bagi saya kalau barang masih boleh dipakai tidak mengapa. Ini kain-kain zaman dahulu yang sebenarnya tidak boleh digunakan pun hendak dibawa bersama termasuk almari buruk yang menunggu masa untuk tumbang. Dia tidak membenarkan orang untuk menolongnya mengemas kerana katanya kami tak tahu mana yang dia masih perlukan dan mana yang dia tidak perlukan. Saya faham, dia terkenang zaman jepun di mana semua barang susah untuk didapati dan kemiskinan waktu itu sangat menyedihkan. Tetapi caranya itu hanya memudaratkan diri. Umur ibu saya sudah 72 tahun dan bapa saya 77 tahun.

Bapa saya setiap hari berulang-alik ke kediaman baru yang mengambil masa lebih setengah jam menaiki motor dengan cuaca yang amat panas sekarang untuk meracun rumput, menabur baja membersihkan tanah. Kerja itu tidak lagi sesuai untuk warga seumurnya. Bila dicadangkan untuk diupah orang mereka tidak bersetuju kerana takut orang buat kerja tak elok. Kita terpaksa menyerah kadang-kala kerana faktor kesihatan. Bapa saya pula sekarang mengidap demam chinkugunya dan setiap hari berkeras dengan diri untuk berkerja. ibu saya pun sakit lutut dan pinggang tetapi tetap bertegas membuat apa yang dia inginkan. Kami adik beradik tinggal jauh kecuali seorang kakak di kampung.

Tidak boleh mengharapkan sangat kakak kerana anak-anak pun masih bersekolah. Tadi saya dapat tahu doktor telah mengesahkan tulang belakang bapa saya senget akibat terlalu kuat berkerja semasa muda dulu. Tetapi bagi saya melihat bapa berkerja, bukan setakat muda sekarang pun dia masih berasa muda. Saya sangat sedih mendengar kemungkinan dia memerlukan pembedahan yang juga berisiko.

1 Comments:

  • At June 24, 2009 at 1:58 AM , Blogger neyseey said...

    Nak buat macamana dah bahagia mereka macam tu...


    Takkan nak marahkan?

    p.s noen, mesti segala barang yang mak hang nak simpan/bawa tu ada 'nilai' pada dia. So, biarkanlah..

     

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home