mayysa

Sunday, June 28, 2009

Maafkan mama, sayang

Bila dah bersiap-siap nak keluar rumah pagi tadi, baru ternampak toto (alas tidur) anak yang tertinggal. Agaknya abah dia terlupa sebab hari ni banyak yang nak dibawa. So, aku lipat dan on the way ke office aku singgah nak hantar toto dia tu. Bila je sampai depan pagar rumah aku nampak anak aku sedang meniarap di depan pintu rumah dengan gril tertutup. Dia nampak aku datang, tapi matanya yang terbuka luas hanya merenung kosong. Aku tegur dia, tapi dia tetap tak bergerak hanya merenung kosong ke arah aku. Aku tak pasti dia sememangnya merenung aku atau renungan itu hanya terarah ke arah aku. Aku panggil namanya, dia tidak memberikan apa-apa reaksi hatta bergerak sekalipun tidak. Lalu aku cakapkan kepadanya supaya memberitahu mak (pengasuhnya) bahawa aku sangkutkan toto di pintu pagar.

Tiba-tiba terasa ingin merakamkan episode itu di dalam kamera telefonku lalu aku segera mengambil telefon di dalam kereta. Aku fokuskan ke arahnya dan segera dia memberi respon dengan mengangkat kepalanya. Dia memang suka bergambar. Apabila aku hendak beredar dia menjerit namaku “mama! mama! mama!”. Suaranya seperti hendak menangis sambil memanggil namaku lagi. Aku katakan aku hendak ke office dan segera aku beredar. Hatiku sungguh sayu. Cermin tingkap yang terbuka segera aku tutup supaya aku tidak lagi mendengar laungannya. Renungannya tadi mungkin sampai bila-bila tidak akan aku lupakan. Terasa sebak dan aku tiba-tiba berasa berada di dalam dilema menjadi suri rumah sepenuh masa atau terus berkerjaya. Maafkan mama sayang. Keadaan tak mengizinkan lagi mama menjadi ibu sepenuh masa.

Di pejabat aku sms suamiku meluahkan kesedihanku. Dia tidak menjawab, tetapi aku tahu itulah yang dia rasakan setiap hari meninggalkan anak kami di rumah baby sitter.

Tuesday, June 23, 2009

kita Hanyalah Anak

Saya sedang berdukacita kerana pagi ini baru mendapat khabar yang bapa saya sangat tidak sihat. Apa yang merunsingkan saya ialah anak saya masih kecil dan lasak dan saya pun sedang mengandung anak kedua, tentulah pergerakan agak terbatas untuk segera pulang ke kampung menziarahi mak dan bapa dalam keadaan kecemasan. Saya tahu setiap apa yang berlaku kepada kita samada yang baik atau buruk adalah ketentuan Allah S.W.T. Dia lah yang berkuasa memberi dan menarik balik sesuatu nikmat yang kita rasai.

Namun sebagai manusia biasa saya amat kesal kerana tidak dapat berbuat apa-apa. Ibu saya sangat tegas dengan apa yang dia kehendaki dan boleh juga kita katakan sebagai degil. Saya bukan menghina ibu saya atau cuba menjatuhkan martabatnya sebagai ibu. Cuma saya mahu sesiapa yang membaca blog saya ini faham situasi yang saya sedang hadapi. Bapa saya lebih lembut hati tetapi dalam keadaan tertentu sama degilnya seperti ibu.

Tanah yang diduduki ibu dan bapa saya akan diambil oleh kerajaan untuk pembinaan benteng banjir. Seumur hidup saya kami kampung kami memang sentiasa dilanda banjir malah rumah kami antara rumah pertama yang perlu bersiap sedia menghadapai banjir jika musim tengkujuh menjengah. Dapatlah sedikit sebanyak pampasan untuk membina kediaman baru. namun yang mengecewakan ibu dan bapa saya tidak mendengar pendapat anak-anak supaya beli rumah yang sudah siap untuk diduduki. Kedua-duanya bertegas untuk membina rumah baru dan mengambil papan-papan daripada rumah lama untuk kediaman baru. Usaha tersebut bukan mudah. Malah ibu saya bertegas untuk membawa setiap barang yang ada di rumah tersebut bersama sedangkan barang-barang lama begitu banyak. Semua yang dia kumpulkan sejak berpuluh tahun lalu.

Bagi saya kalau barang masih boleh dipakai tidak mengapa. Ini kain-kain zaman dahulu yang sebenarnya tidak boleh digunakan pun hendak dibawa bersama termasuk almari buruk yang menunggu masa untuk tumbang. Dia tidak membenarkan orang untuk menolongnya mengemas kerana katanya kami tak tahu mana yang dia masih perlukan dan mana yang dia tidak perlukan. Saya faham, dia terkenang zaman jepun di mana semua barang susah untuk didapati dan kemiskinan waktu itu sangat menyedihkan. Tetapi caranya itu hanya memudaratkan diri. Umur ibu saya sudah 72 tahun dan bapa saya 77 tahun.

Bapa saya setiap hari berulang-alik ke kediaman baru yang mengambil masa lebih setengah jam menaiki motor dengan cuaca yang amat panas sekarang untuk meracun rumput, menabur baja membersihkan tanah. Kerja itu tidak lagi sesuai untuk warga seumurnya. Bila dicadangkan untuk diupah orang mereka tidak bersetuju kerana takut orang buat kerja tak elok. Kita terpaksa menyerah kadang-kala kerana faktor kesihatan. Bapa saya pula sekarang mengidap demam chinkugunya dan setiap hari berkeras dengan diri untuk berkerja. ibu saya pun sakit lutut dan pinggang tetapi tetap bertegas membuat apa yang dia inginkan. Kami adik beradik tinggal jauh kecuali seorang kakak di kampung.

Tidak boleh mengharapkan sangat kakak kerana anak-anak pun masih bersekolah. Tadi saya dapat tahu doktor telah mengesahkan tulang belakang bapa saya senget akibat terlalu kuat berkerja semasa muda dulu. Tetapi bagi saya melihat bapa berkerja, bukan setakat muda sekarang pun dia masih berasa muda. Saya sangat sedih mendengar kemungkinan dia memerlukan pembedahan yang juga berisiko.

Monday, June 15, 2009

Karenah Orang Besar

Dulu pernah saya tuliskan karenah orang yang kaya. Hari ni nak tulis pasal orang besar atau berpangkat. Semalam saya ke Putrajaya Bahagian Pinjaman Perumahan. Lawyer macam saya ni nak pergi mana lagi kalau bukan tempat-tempat macam tu. Client minta tolong jadi saya temankan dia ke sana. Masalah dia, dia dah dapat kelulusan loan tapi tersilap isi borang dapat loan convensional sedangkan dia nak elakkan riba nak ambik Islamic. Saya memang tak faham apa beza convensional dan islamic bagi pembiayaan perumahan kerajaan. Yang saya dpat bezakan cuma jenis dokumen je lah.

Bayangkan 30 tahun dia nak bayar atas prinsip convensional tu dia rasa ralat lah. Kesilapan tu berlaku semasa isi borang nak apply loan, sebab dia tak tahu cuma ikut tunjuk ajar orang. Saya memang dah tahu dia nak islamic cuma tak sangka masalah ini akan berlaku. Jadi jauh di sudut hati saya salahkan juga diri saya sebab dia memang ada agi surat tawaran kepada saya tetapi saya tak tengok betul-betul. Bila dah tengok dah terlambat.

Bila melepasi beberapa kakitangan di perumahan tu kami akhirnya dapat bercakap dengan pegawai yang berkaitan cuma saya tak tahu pegawai tinggi mana. Penolong Pengarah ke, Timbalan Pengarah ke atau Ketua Pengarah. Tapi pada saya PR dia memang hancus. Kami tak pun dijemput masuk jumpa dia. Kalau dai jemput masuk ke bilik dia tentu perkara akan jadi lebih jelas sebab bila kita bercakap berdepan banyak yang akan lebih faham daripada tak faham. Suara dia bercakap melalui telefon sangat mengecewakan seolah-olah kami adalah gangguan dan dia memang tak mahu layan public.

Oleh sebab saya seorang peguam, walau pun tak terkenal dengan kebijaksanaan, saya cuba bercakap secara wajar dengan mensabarkan diri sendiri supaya tidak berkecil hati dengan nada suaranya yang tidak mesra public itu. Akhirnya apa yang khilaf berurai. Kalau lah dari awal perkara itu diberitahu kepada client saya kenapa dia tidak boleh menukar surat tawaran yang diterimanya, kami tak perlu pergi ke sana dan mengganggu ketenteraman pegawai itu.

Aalasan yang diberikan sebelum ini sebab client saya dah sain surat setuju terima, insuran dah bayar dan sebagainya lagilah termasuk alasan bahawa kes seperti itu belum pernah berlaku yang mana kurang munasabah sebab duit belum keluar client saya ada hak. Tapi alasan yang paling munasabah yang saya nak dengar ialah jika loan itu terdapat dalam peraturan bahawa once kakitangan dah sain surat setuju terima loan tak boleh batal. Kalau batal dia tak entitle untuk second loan sebagai penalti. Itu yang paling munasabah iaitu peraturan yang termaktub walau pun peraturan tu sangat tak adil.

Mentang-mentanglah dia gomen servant dan loan gomen ni orang semua tahu interest rate rendah hak dia dinafikan. Sepatutnya semua tu boleh dipinda dan yang paling sedih tak boleh refinance. Saya agak kecewa dengan kes ini sebab kita berurusan dengan hukum Allah. Saya bukanlah orang alim nak persoal perkara-perkara macam tu tapi saya rasa saya nak berubah. Yang mana tak boleh tetap tak boleh. Dengan Allah tak boleh buat muslihat kan. Kalau lah pegawai tu mambaca blog saya, harap dia menginsafi kata-kata yang diluahkan kepada client saya di telefon semalam. Semoga kita tidak jauh dari rahmat Allah.

Tuesday, June 9, 2009

Ayah & Ibu

Ayah dan Ibu
Ayah dan Ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
ar...arrrr


Harap2 betullah rangkap yang saya tulis tu sebagai sebahagian lagu nyanyian Allayarham Sudirman Haji Arshad. Lirik yang lain saya tak berapa ingat tetapi lagu ni memang mengangkat martabat ayah dan ibu untuk kita sanjung sebagai orang yang membawa kita mengenal dunia.

Antara jadi dan tak jadi saya balik juga ke kg dengan kakak. Dia yang drive. Dia bawa 3 anak dia, saya bawa anak saya. Sedihnya tengok mak dan bapa saya. Kedua-duanya tak sihat. Mak sakit pinggang dan lutut sementara bapa kena demam chinkugunya. Sakit sendi2 nak bergerak pun susah. Itu pun dia masih berkeras nak siapkan kg yang baru dibeli lebih kurang 30 minit perjalanan dengan kereta dari kg kami sekarang. Pergi pagi balik petang. Kami tak tahu nak nasihat macam mana lagi supaya kerja2 tu diupah orang lain membuatnya. Tengok muka mak dan bapa saya rasa sangat tak berdaya untuk berusaha berada disamping mereka ketika dalam keadaan yang memerlukan seperti ini.

Allah berikan tanggungjawab kepada anak lelaki lebih manakala anak perempuan yang dah berumahtangga kurang. Ada hikmahnya. Sebab bila dah berkahwin dan beranak pinak macam ni susah nak bergerak. Hatta nak menjenguk mak dan bapa di kampung pun susah. Takkan nak tinggalkan anak dengan suami pulak.

Saya do'akan kesihatan mereka dipulihkan Allah. Saya masih memerlukan kasih-sayang dan perhatian mereka walaupun saya sudah berumahtangga. Saya percaya tiada siapa dalam dunia ni mampu menyayangi saya sebagaimana kedua orang tua yang telah melahir dan membesarkan saya. Perjalanan masih jauh, saya masih belum cukup mencurahkan bakti kepada mereka.