mayysa

Sunday, May 31, 2009

KEMPEN

Saya bukan nak berkempen politik atau perkauman atau apa-apa yang negative. Saya Cuma nak berkempen supaya kita mencintai saudara kita. Pada fahaman saya saudara ada 2 kategori. Yang pertama saudara seagama tak kira bangsa yang budaya selagi seagama dia adalah saudara kita. Jadi apabila mendengar saudara islam kita teraniaya sepatutnya kita sama-sama merasai sakit penderitaan mereka itu.

Yang kedua saudara yang sama ibu atau bapa atau sama kedua-duanya. Biasanya yang ini lebih dekat dengan kita. Jika kita anak yang sulung sudah tentu ada pengorbanan yang lebih banyak kita lakukan untuk adik-adik kita. Samada menolong mak dan ayah membiayai persekolahan mereka atau pun kita korbankan masa depan kita untuk belajar lebih tinggi supaya kewangan yang terhad dapat disalurkan kepada adik-adik untuk mereka berjaya dan ada sesetengahnya anak sulung akhir hidup ala kadar manakala adik2 hidup senang dan melupakan mereka.

Apapun jika kita sebagai anak sulung bersyukur dan redha saya percaya Allah telah mempersiapkan sesuatu yang jauh lebih baik daripada ingatan adik-adik kepada kita. Saya bukan anak sulung, tetapi sedikit sebanyak saya tahu pengorbanan abang dan kakak untuk adik-adik mereka. Saya golongankan diri saya dalam golongan orang yang lebih bernasib baik. Saya dapat belajar dan bekerja dan mempunyai pendapatan yang Alhamdulillah mencukupi untuk saya penuhi sedikit sebanyak keperluan mak dan bapa dan anak-anak saya.

Jadi kempen saya ialah marilah kita mengingati jasa orang yang telah menabur budi kepada kita sehingga kita dapat hidup lebih baik daripada mereka. Contohnya kakak dan abang saya. Mereka, mahu atau tidak terpaksa menghulurkan bantuan kepada saya kerana mereka terlebih dahulu bekerja dan mempunyai pendapatan. Saya pula apabila terdesak meminta daripada mereka lebih daripada ibu bapa yang telah tua di kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Hanya Tuhan yang tahu apakah kesusahan yang mereka hadapi kerana membantu saya. Kakak dan abang juga mempunyai keluarga yang perlu ditanggung. Selain ibu bapa yang telah menyekolahkan saya, saya juga terhutang budi kepada kakak-kakak dan abang-abang yang telah membantu saya di kala susah dan senang saya. Kalau hendak memberi duit kepada anak2 buah yang ramai, tentu lah saya tak mampu tetapi saya cuba peruntukan duit raya yang agak lumayan untuk mereka setiap tahun. Yang lebih besar mendapat lebih banyak.

Walau pun ekonomi rumahtangga akan meleset saya cuba tekadkan niat bahawa saya memberi hanya sekali-sekali bukan selalu. Begitu juga saya ingin berkempen supaya kita menolong saudara2 kita yang memerlukan bantuan terlebih dahulu daripada membiarkan mereka meminta tolong daripada orang lain dengan syarat saudara2 kita ini bukan mengalami kesusahan disebabkan melakukan maksiat. Tapi rasanya jika mereka melakukan kesalahan yang serupa itu pun jika kita boleh menyedarkan mereka dengan pertolongan kita, saya rasa itu lebih baik.

Kempen saya ini lebih kepada sharing opinion bukan untuk orang lain melainkan untuk diri sendiri kerana tiba-tiba saya terpanggil untuk meluahkan isi hati ini apabila mendengar ada saudara islam di dalam kesusahan tetapi tiada saudara2 nya yang datang menghulur bantuan.

Mungkin saya patut masukkan satu lagi golongan iaitu kawan-kawan yang sentiasa ada apabila kita susah. Kadang2 kawan-kawan lebih rapat dengan kita daripada saudara sendiri. Ada yang sebatang kara yang hidup dengan kasih-sayang kawan-kawan. Jadi jangan lah lupakan kawan-kawan kita apabila suatu hari kita hidup di singgahsana kejayaan.

Monday, May 25, 2009

Orang Kaya

Tak tau nak definisi orang kaya tu perwatakannya sepatutnya macam mana sebab kebanyakan client aku yang dari area bangsar orang kaya2 tapi perwatakan dia orang berbeza. ada yang nampak macam org kaya tapi ada yang tak. Ada yang sederhana tapi nampak macam kaya.

Kemarin aku pi hantar keta aku cuci dan polish. Seumur hidup keta tu bertuankan aku inilah kali pertama aku make up dia. Mesti dia happy kan. Semasa tunggu dia org nak finalise keta aku tu, ada sebuah lori, agak panjang la tengah reverve ke arah tempat aku berdiri tapi jaraknya jauhlah. Lorong kat sini dah jadi sempit sebab kereta terlalu padat. So tengah dia reverse tu dah halfway, tiba-tiba sebuah MPV datang. Nak kata MPV taklah besar sangat tapi memang macam tu lah aku tak perasa tajuk dia. Honda ke chevrolet ke, renault ke cumanya colour hitam dan nampak hebat lah. Driver tu terus hon lori yang tengah reverse tu. Tapi lori tu dah halfway kan dia pun cuba lah habis kan unduran dia. Sekali lagi keta gah tu honkan dia. Aku pun ikut tertengok sekali lah.

Tiba-tiba telinga aku menangkap satu suara "orang kaya" bunyi nya. Lori tu terus brek dulu membiarkan "orang kaya" itu lalu. Rasanya betul2 ke kereta yang gah tu ialah kereta orang kaya? Macam tu kah attitude orang kaya sebenarnya? Minta dijauhkan Allah diri kita menjadi macam tu. Atau mungkin ada logiknya attitude pemandu kereta tu takut lori tu reverse langgar dia? Logik tak?

Thursday, May 21, 2009

Pemandu

Petang semalam aku ditugaskan suami untuk mengambil anak dari rumah pengasuh. Biasanya tugas menghantar dan mengambil anak adalah tugas wajib suamiku. Oleh sebab dia ada mesyuarat petang tugas itu jatuh ke bahuku. Dengan memandu kereta kecilku aku menuju ke rumah pengasuh. Tak jauh lebih kurang seminit atau kurang dengan menaiki kereta. Kenakalan anakku menyebabkan aku lebih suka membawa kereta. Kalau di suruh berjalan dia berlari. Kalau mendukungnya aku malas sebab dia semakin berat. Manakan hendak mendukungnya, hendak mengusung beg pakaian dan bekalannya lagi disamping baby doll yang dibawa ke rumah pengasuh setiap hari.

Sampai di selekoh berhampiran rumah pengasuh aku tiba-tiba ternampak sebuah kereta biru pudar yang sudah tua menuju ke arahku dengan kelajuan melebihi kelajuanku yang rasanya baru hendak mencecah 20km/j. Serentak dengan itu dia membunyikan hon. Aku segera bergerak ke kananku untuk memberikannya laluan di kiri. Jika mengikut peraturan undang2 jalanraya perbuatanku itu tentulah salah. Tetapi pada saat itu, tindakan itu lebih tepat ku rasakan sebab kereta itu nampak laju sedangkan lebih kurang 2-3 meter di sisi jalan sebuah kereta diparkir. Jadi lebih munasabah aku ke kanan memberikan dia laluan di kiriku yang cukup luas kerana selekoh itu berhampiran hujung blok perumahan.

Tiba-tiba kereta itu berhenti betul-betul di hadapanku. Dia tidak bergerak ke kiri seperti yang kusangkakan. Dia memberikan aku isyarat ke kiri tetapi kukira untuk memudahkannya aku menyuruhnya ke kiri dengan isyarat tangan juga. Pemandu tersebut sudah uzur sepertimana keretanya juga. Oleh sebab aku fikir dia tidak faham isyaratku yang aku dengan bersungguh-sungguh menyuruhnya ke kiri tetapi kemudiannya aku lihat dia seperti marah-marah dan memaksa aku ke kiri. Tanpa membuang masa dan bagi mengelakkan pergaduhan yang sungguh tidak wajar aku memutarkan sterengku ke kiri. Jalan pada waktu itu lengang, tiada kenderaan lain kecuali kenderaan kami yang bergerak di jalan.

Semasa berselisih dengan keretanya ku lihat dia seperti mengatakan sesuatu atau dengan kata lain memakiku dengan aksi2 tangan yang sungguh2. Hairan aku jadinya. Sebagai tindakan spontan aku juga turut mengatakan sesuatu dengan isyarat mulut sebagai tanda protes kepadanya tetapi aku tidak mamakinya sekadar melahirkan rasa tidak puas hati dengan kedegilannya yang tidak bertempat. Mungkin kalau nak diibaratkan boleh dikatakan dengan istilah yang selalu emak gunakan jika berdepan dengan orang tua yang degil tidak bertempat iaitu “bodoh tua”. Perkara begitu mudah kenapa hendak disusah-susahkan. Dengan kedudukan keretanya sesiapa pun yang melihat aku yakin dia sengaja mencari pasal denganku. Aku bukan terlanggar keretanya atau tidak memberikan dia laluan, malah laluan seluas2 nya. Jika dia hendak membuat pusingan 360 darjah pun boleh.

Rasa sebalku ku luahkan kepada suami ku malam itu. Dia hanya mendengar. Memang dia tak pandai memberi komen tambahan dalam kes2 ala2 pergaduhan. Sehingga pagi ini aku masih lagi sebal tambahan aku terlihat sebuah kereta tua seperti itu bergerak di depanku pagi tadi. Yakin benar itu kereta si tua itu. Rasa macam nak campakkan kaca di hadapan rumahku supaya empat tayarnya pancit betul2 di depan rumahku. Entah kenapa aku begitu marah dengan kedegilannya yang tak bertempat itu. Sudah lebih dua tahun aku tinggal di situ. Dengan kereta yang padat di kiri kanan jalan. Semua orang memberikan kerjasama antara satu sama lain jika termakan jalan orang lain. Perkara itu tidak boleh dielakkan. Tambahan pula terdapat pasar berhampiran rumahku. Malah plat motor suamiku telah 2 kali dilanggar kereta yang membuat pusingan di hadapan rumahku yang memang sesuai membuat pusingan kerana agak luas. Dia tidak pernah menuntut bayaran atau marah2.

Ketakutan

Takut ni banyak jenis. Takut hantu, takut penjenayah, takut nak bawa kereta, takut nak jalan malam, takut nak kawin, takut nak menjanda, takut itu dan takut ini. Tahu tak apakah salah satu takut yang boleh bawa kemanisan dalam hidup? Takut nak bersalin. Saya rasa rata-rata orang dah berkahwin nakkan anak, tapi kebanyakannya takut nak beranak. Untuk yang belum pernah merasai sakit bersalin tu tentu takut tu kurang cuma berdebar tapi yang dah merasai bersalin anak sulung tentu ada rasa takut untuk melangkah ke nombor 2. Saya pun macam tu.

Memang dikurniakan anak ada tu sesuatu yang manis. Maha suci Allah yang menjadikan satu kepahitan yang kita lalui berakhir dengan kemanisan yang tidak dapat digambarkan. Sejak perut makin membesar ni rasa takut tu semakin dekat tambahan pula saya disahkan oleh doktor bahawa kandungan gula dalam darah tinggi. Dengan kata lain mengidap kencing manis. Mungkin bukan permanent tapi cara nak atasi masalah tu sangat serius sehingga mendatangkan ketakutan dan forbia.

Ditambah pula memikirkan kesakitan yang tak dapat digambarkan ketika bersalin. Walau pun pengalaman bersalin kali pertama sakit hanya 2 jam tetapi tetap sakit dan saya rasakan saya tak pernah mengalami kesakitan yang sebegitu seumur hidup. Anehnya ketakutan itu tidak menjadikan saya forbia untuk mendapatkan seorang lagi cahaya mata. Takut tetap takut tetapi keindahan menggendong bayi yang baru lahir sungguh nikmat.

Do'akan saya selamat menjalani hari-hari sehingga selamat melahirkan. Saya tetap takut tetapi ini adalah tugas dan amanah kepada saya atau kepada isteri lainnya sebagai wanita dan khalifah di muka bumi.

Monday, May 4, 2009

Apabila membaca cerita politik kampung kawan saya, sebenarnya situasi sama berlaku kepada bapa saya dan kekal sehingga hari ini. Setahu saya, dulu bapa saya juga ahli PAS namun setelah jadi satu insiden di antara PAS dan UMNO, bapa saya tidak lagi mempercayai PAS sebagai sebuah parti untuk memerintah dan sebagai tempat rakyat berteduh. Kejadian itu dah lama, mungkin dalam tahun 80-an, saya tak pasti. Sejak itu lah bapa dan emak memang kuat sebagai orang UMNO. Malah walau pun emak tak boleh membaca dia lantang bersuara, bukan sebarang suri rumah. Dia pernah menjadi ahli jawatan kuasa parti saya tak pasti peringkat mana tapi emak saya memang dikenali sebagai orang kuat UMNO sehingga hari ini.

Kisah politik kotor PAS ini sama saja di mana2 kampung saya rasa. Bagi saya yang hanya melihat sesuatu yang positif bagi setiap parti, saya tidak kisah sama ada org itu UMNO atau PAS selagi akhlak dia baik, maka baiklah dia. Macam kawan saya, golongan UMNO ini kelompok minoriti dalam kampung saya, sehingga sekarang ada kenduri orang UMNO dipulaukan. Jenazah orang UMNO juga dipulaukan. Ini jahil namanya. Bukan memperjuangkan parti tetapi memperjuangkan hak yang salah. Kafir-mengkafir itu pun pernah berlaku dalam kampung saya. Bila bapa ke masjid ada sindiran2 tajam dilontarkan kepada bapa oleh siapa? Sepupu bapa sendiri yang merupakan imam masjid. Masjid menjadi tempat pengajian agama yang diselang-seli dengan umpat keji kepada orang UMNO. Rasulallah tak pernah ajar umatnya kata mengata dalam masjid, malah kata-mengata ni kalau bukan dalam masjid pun tak boleh kan.

Sekarang, bapa saya hanya dicari bila waktu orang sakit. Kebetulan bapa dianugerahkan Allah dengan bakat boleh mengubat dgn izin Allah. Ada satu insiden kawan sekampung yang sebaya yang hampir menunggu ajal meminta dibawakan bapa ke rumah setelah sakit berlama-lama. Minta diberikan air penawar. Lalu bapa hanya menjalankan amanah Allah untuk menolong sesiapa yang berkehendak. Setelah kawan tersebut meninggal, bayangkan bapa saya langsung tidak diajak untuk solat jenazah sekali. Amalan terkini di kampung saya, solat jenazah kita perlu buat apabila diminta keluarga si mati kerana mereka akan memberi saguhati seperti duit. Jadi yang tidak diajak lebih baik jangan ikut sekali kerana dikhuatiri akan mendatangkan fitnah (mungkin org akan kata nakkan duit saguhati tu).

Sekarang bapa saya sudah lama tidak ke masjid di kampung untuk solat jumaat atau tarawikh atau pun raya. Dia akan ke pekan tempat di mana masjid tak dikira medan politik. Sebab itu bapa saya suka menghabiskan bulan ramadhan di KL kerana dia boleh bersolat tarawikh samada di masjid di rumah kakak atau abang atau rumah saya sendiri. Sejak saya berumahtangga, emak dan bapa saya akan menetap lebih lama di rumah saya memandangkan masjid di sini memang sangat dimakmurkan kerana fahaman politik seperti yang saya katakan langsung tidak wujud di sini. Hanya amalan2 wajib dan sunnah yang diutamakan.

Saya rasa dalam hal politik ini, hanya pemimpin boleh mentarbiahkan anak buahnya. Itu pun akan memakan masa yang sangat panjang kerana sikap seseorang itu kadang2 diwarisi daripada keturunannya termasuklah dalam hal politik.